Hutang Selepas Mati adalah satu perkara yang penting dan perlu diambil berat oleh semua umat Islam. Dalam perancangan harta pusaka, ramai yang lebih mementingkan pembahagian harta, tetapi kurang peka terhadap hutang yang ditinggalkan.
Tanggungjawab siapakah untuk menjelaskan hutang si mati ?
Dalam hal penghutang telah meninggal dunia dan tidak sempat selesaikan hutangnya, maka, hutang itu haruslah dijelaskan oleh waris-waris.
Tiada jalan lain kecuali pihak yang memberikan hutang itu menghalalkannya, maka barulah terlepas si mati daripada belenggu hutang di akhirat kelak.
![]()
Namun, hutang ini bukan sahaja sesama manusia, tetapi hutang juga melibatkan PENCIPTA. Contohnya, jika si mati tidak mengeluarkan zakat harta semasa hidup, maka fuqaha menyatakan bahawa adalah wajib dikeluarkan ZAKAT tersebut sebelum harta-harta si mati dibahagikan kepada waris-waris.
Begitu juga dengan HUTANG KIFARAT, HUTANG NAZAR dan HUTANG HAJI. Hal – hal ini dinamakan hutang kepada ALLAH SWT. Seperti yang dinyatakan oleh Imam As-Syafie bahawa hutang hendaklah dilunaskan sebelum senarai hutang-hutang lain.
Perlu diambil tahu bahawa hutang Kifarat boleh berlaku seandainya si mati semasa hidupnya melakukan perkara yang menyebabkan dia dikenakan kifarat. Antaranya, Kifarat kerana bersetubuh di siang hari pada bulan Ramadahm kifarat kerana meninggalkan sumpah dan sebagainya.
Bagaimana pula dengan hutang nazar ? Hutang nazar adalah ucapan yang dilakukan dengan maksud untuk mencapai sesuatu hajat. Misalnya, si “A” berkata “jika saya dapat kerja di syarikat xx, saya akan memberi makanan kepada orang fakir selama 2 minggu.” Nazar ini menjadi wajib untuk ditunaikan jika si “A” dapat kerja di syarikat xx.
Sementara itu, hutang haji adalah hutang bagi seseorang yang telah cukup segala syarat dan wajib haji, tetapi tidak sempat melakukannya. Maka, para warisnya perlulah melaksanakan ibadat itu bagi pihak dirinya, sama ada dengan melantik pihak lain melakukan haji tersebut (badal haji) atau mereka sendiri yang melakukanya.
Hutang Zakat pula terjadi apabila seseorang yang cukup syarat tetapi mengabaikan kewajipan bayar zakat sewaktu masih hidup. Kegagalan membayar zakat itu mungkin atas sebab kelalaian atau terhalang atas sebab-sebab tertentu. Oleh demikian, wajiblah bagi warisnya mengeluarkan zakat yang telah ditentukan dan ia dianggap hutang zakat.
Salah satu cara / kaedah yang penting untuk dilakukan bagi seseorang yang banyak hutang ialah dengan menyediakan surat / dokumen wasiat yang mengatakan mengenai hutang-hutang yang masih belum dijelaskan. Hutang-hutang tersebut termasuklah hutang peribadi, hutang pinjaman dengan mana-mana pihak, hutang zakat dan sebagainya.

Wajib bagi surat wasiat tersebut dibacakan kepada semua waris sebelum harta pusaka dibahagikan. Namun, dalam dunia moden kini, kita juga boleh menggunakan system Kafalah (jaminan hutang) atau takaful, iaitu apabila berlakunya kematian maka hutang-hutang itu secara automatic dibiayai sepenuhnya oleh pihak takaful. Hal ini sudah tentu meringankan semua pihak dalam menghadapi hari-hari selepas kematian.
Wallahua’lam.
(Petikan ini dihasilkan dengan rujukan dari "Harta Dunia Saham Akhirat" oleh Hamizul Abdul Hamid.

